Ikan Tak Suka Kakak?



Meredakan tenaga yang membuak di dalam badan anak-anak dengan rancangan memancing. Tenaga yang tidak akan musnah tetapi perlu saluran. Rancangan ini dipilih kerana kegemaran anak-anak saya dengan masakan ikan sungai buatan neneknya. Nenek dan atok mereka menghabiskan masa bosannya dengan pergi memancing. Resam apabila telah tinggal berdua, mula mencari semula aktiviti bulan madu untuk meraih keromantisan. Satu kemahiran yang saya dan isteri perlu pelajari dan fahami.

Tiba di gigi air, si nenek dan atok sibuk menyiapkan alatan memancing cucunya. Si umi, menyediakan ruang santai dengan selembaran tikar dan makanan ringan. Anak-anak semenjak sampai terlonjak-lonjak meraih keghairahan jiwa.

“Atok, cepatlah..tak sabar ni….”Kata Uwais yang paling nampak tak keruan.

Masing-masing , seorang satu jorannya. Lima minit pertama mereka tekun dan bersemangat. Lepas pada saat pertama minit kelima tumpuan mulai goyah. Kaki mula memijak air. “Slop” terpelosok dalam lumpur hingga ke lutut. Uwais dan Uzair mulai ketawa girang. Keghairahan bertukar ke aktiviti lain. Akhirnya hanyut dengan aktiviti mereka sendiri. Joran mereka tinggal kaku dan bisu.

Cuma si Kakak masih bertahan.

“Apasal tak dapat ikan lagi babah”, gerutu Rauzah menjeling kepada adik-adiknya sibuk mengharung air.

“Pegi main jauh dari nenek, korang datang ikan semua cabut” laung neneknya pening dan terganggu.

“Ini kali kedua kakak memancing. Kakak rasa kakak tak pandai memancinglah “ mulai merasionalkan situasi kebosanannya. Mencari alas an untuk hatinya yang dihimpun segunung pengharapan.

“Kakak tak de bakat memancing agaknya ?“ terus membuka persoalan dan menagih penyelesaian apa yang dirasainya. Sukar saya ingin memula bicara.

“Sabar kak, tunggu kejap lagi” kata saya menenangkan harapannya. Psikologinya, Rauzah mulai terlalu mengharap mendapat ikan. Hakikatnya semakin kuat perasaan kita tentang sesuatu, semakin lemah daya kawalan kita.

Pernahkan anda terdesak untuk mendapatkan sesuatu? Perasaan cemas mulai mengganggu bukan! Kesimpulanya apabila kita cemas terdesak – perasaan kita terlalu mengharap sesuatu urusan atau kejadian, kita menghalanginya. Lawan prinsip ini? Bertenang dan bersabar sedikit, beres!

“Cuba tengok umpan kakak” kata saya sambil menyentak ikan talipia hitam.

“Mungkin umpannya dah habis. Sabar dan jangan terlalu mengharap kak. Belum ada rezeki. Semuanya adalah pemberian Allah. Tapi tak mengharap bukan tak peduli, tetapi tidak berharap dan berazam serta berusaha.” Saya cuba memancing jiwa dan mindanya.

“Kita dah berusaha bubuh umpan, InsyaAllah ikan akan nampak. Kan Allah Maha Adil. Jika belum dapat Allah belum mengizinkan. Tak perlu risau kerana kita percaya Allah maha Adil dan tahu apa yang baik untuk makhluknya. Saya akui rauzah separa faham dengan hujahan tauhid itu.

“Selain sabar, kita perlu MENCINTAI pekerjaan yang sedang kita buat kak “ Kata saya untuk umpan kedua. CINTA ADALAH TENAGA. Setiap yang kita buat dengan rasa cinta diresapi “tenaga bermutu” dan kesungguhan. Tidak kira apa kerjaya kita.

“Bila kakak berminat dengan apa saja yang kakak buat, semangat akan membawa kearah kejayaan”Kata saya lagi. Itulah maksud keghairahan dalam kerjaya yang mungkin dialami oleh orang-orang berjaya dan kaya raya. Mereka mulai dengan minat dan mencintai kerjanya. Selepas itu barulah kekayaan datang. KERJA ADALAH CINTA YANG DIBERI RUPA.Bill Gates adalah antara orang terkaya di dunia. Apabila dia becakap, jelas dia lebih berminat terhadap perisian computer daripada wang. Jadi akhirnya, kebahagiaan terletak pada melakukan sesuatu yang kita cintai.

Kami pulang dengan si kakak berjaya menaikkan tiga ekor ikan. Uzair dan Uwais tiada lansung bercerita tentang ikan tetapi pengalamannya bermain lumpur. Itulah minatnya. Mereka berdua balik dengan ceria dan malamnya tidurnya nyenyak sekali.

“Lain kali kita pergi memancing lagi ye atok” pinta Uzair.

“OK, OK…boleh tapi jangan ngacau orang mancing, boleh !! ” pesan si atok.

“ Sabar, mencintai, tidak berharap dan berazam ye kak” Rauzah mengangguk.Peringatan untuk saya juga. Saya dan kerjaya saya.

Tiba-tiba saya teringat kata Henry David Thoreau “ Banyak orang seumur hidup pergi memancing tanpa mengetahui bukannya ikan yang mereka cari.

Mengingati ungkapan itu, saya tersenyum melihat gelagat Uwais dan Uzair.

Comments

Popular posts from this blog

Kata-kata

Misi Bertanggungjawab