Kakak Bukan TOM...




“Mengapa kakak?, Babah tengok muka semacam je “ Tanya saya melihat anak sulong saya seolah memendam rasa. Bersendirian duduk di pondok ditaman mini rumah kami.Tentu ada sesuatu cerita disebalik awan mendung. Kerna hati si kecil yang terlalu jujur. Amat mudah terpancar pada raut wajah. Si abang dan adik kelihatan riang tanpa menyedari kekusaman perasaan si kakak.

“Asyik abang je yang menang !” rengusnya memberi maklumat. Saya memandang si abang yang riang dilambung kemenangan. Saya mulai sedikit faham. Tapi biar Rauzah terus meluah isi hatinya. Respon saya hanya dengan raut simpati tan pa suara. Ia sudah cukup menyejukkan hati si kakak.

“Tadi kakak main catur dengan abang, macam semalam , abang menang lagi.” Sedih sekali.

“Kakak rasa memang tak boleh kalahkan abang sampai bila-bila” si kakak membina teori sendiri untuk menegaskan situasi kesedihan dan kekalahan. Dia putus asa. Saya rasa cuak.

Apabila orang hendak menyakinkan kita bahawa keupayaannya terhad, mereka berkata “Saya tak dapat buat x kerana…”

“Kakak tak nak main catur lagi. Lain kali babah tolong ajar kakak bila kakak main catur ye.,” meneruskan agenda memperkecilkan diri sendiri. Keliru untuk mencuba lagi tetapi takut gagal lagi. Kerna gagal itu amat sakit.

Saya terdiam melihat si kecil yang telah hilang kepercayaan diri . Mula membina kepercayaan baru dengan membina bata –bata menjadi tembok mengelilingi diri untuk menjadi orang yang terkurung. Dikurung oleh pemikiran sendiri.

“Kakak kecewakan.!!.babah faham perasaan kakak” saya mulai dengan merawat kesedihan yang mencengkam.

“Babah boleh tolong kakak, tapi bukan tolong ajar masa kakak main catur dengan abang”
“Habis !! bukan tolong la tu..abang akan menang lagi” sukar untuk menjelaskan suatu proses pemikiran negetif yang mula menjalar dan mencengkam hati dan perasaannya.Proses yang tidak disedarinya dan sukar dimengertikan oleh kanak-kanak seawal 9 tahun. Tetapi pada usia sebeginilah ia bercambah dan membina wataknya hingga dewasa. Akhirnya itulah wataknya. Tidak siapa lagi mampu merubah.

“Cita-cita kakak nak jadi saintiskan..?” saya cuba memamcing hati.
“Emm, kenapa babah?..” menunjukkan minat dan perkaitannya dengan isu sedihnya.

“Ujikaji!!..saintis kena selalu buat ujikaji. Dan hari ini babah nak ajar kakak buat satu ujikaji” idea saya mulai meluncur.

“Nak..nak..nak…macam cerita CSI..,” rasa ingin tahunya semakin teruja.

Saya ceritakan sebuah ekperimen di Woods Hole Oceanographic Innstitute. “ Kakakkk……”

Dapatkan sebuah akuarium. Bahagi dua dengan dinding kaca jernih, jadikan ‘dupleks’ ikan. Dapatkan seekor ikan toman, kita namakan TOM, dan seekor ikan seluang.(Toman makan seluang) Letakkan ikan itu terpisah oleh dinding kaca. Serta merta TOM meluru kearah seluang dan….bam…terhantuk kuat ke dinding kaca. TOM berpusing, meluru lagi..lebih ganas..bam..

“Kakak !! akhirnya……”

Dalam beberapa hari, hidung TOM tentu sakit. Akhirnya ia sedar(buat kesimpulan) memeburu seluang ertinya sakit; TOM pun berhenti memburunya. Kemudian alihkan dinding kaca itu. Apa yang terjadi ? TOM tinggal dalam kawasannya seumur hidupnya. Dia rela berlapar sampai mati, sedangkan seluang beberapa inci darinya. TOM tahu had keupayaannya ; TOM tak akan melangkah keluar. Kepercayaan telah terbina. Dinding pemikirannya, sedang realitinya tiada apa-apa yang menghalangnya.


SESUATU YANG ANDA PERCAYA SENTIASA BERLAKU; DAN KEPERCAYAAN ANDA TERHADAP SESUATU MENYEBABKANNYA BERLAKU.


“Tom tu bukan kakak, tapi ceritanya satu ujikaji untuk kakak belajar sesuatu..” kataku mengakhiri cerita. Rauzah tersenyum kelakar mengingatkan tentang cerita ikan itu. Tapi bukan semudah itu merubah sebuah pemikiran. Ia permulaan dan perlu lagi siri susulan dan bimbingan untuk sikecil ini.

"Kesian si Tomkan babah.Kakak tak nak jadi TOM ” Rauzah membuat penilaian. Penilaian tentang dirinya lebih penting dari ikan itu fikir saya. Tetapi saya tetap waras tahap usianya untuk memahami dan mengamalkan sekaligus. Ia suatu proses. Ibubapalah pemegang amanah itu.Biar beransur.

Sebenarnya, kisah Tom adalah kisah setiap manusia termasuk saya. Kita terhantuk ke dinding kaca; kita terhantuk ke dinding buatan guru-guru, ibubapa dan sahabat handai yang memberitahu kita di mana tempat yang sesuai bagi kita dan apa yang boleh kita buat. Paling teruk, kita terhantuk ke dinding buatan kepercayaan kita sendiri.Kita mencipta akuarium kaca sendiri dan menyangka itulah reality.

“Kakak, cukup dulu babah ceritakan tentang TOM, yang penting kakak dah mulai faham sebenarnya abang boleh dikalahkan selagi kakak tak putus asa” kata saya memberi semangat.Walaupun dalam hati kecil ingin terus memeberi maklumat tentang kemunkinan TOM mampu keluar dari paradiqmanya yang salah. Bagaimana TOM melakukannya? Bagaimana TOM merobohkan kaca dinding itu? Namun saya akur untuk memberinya kesedaran sedikit demi sedikit.

“Tunggu kakak, masa yang sesuai babah ceritakan lagi bagaimana TOM merobohkan dinding kaca pemikiran itu melalui strategi pemikiran juga” Kata saya dalam hati.
Hati yang risau dan sedar tentang kepentingan kemahiran keibubapaan. Dan cabaran menjadi bapa masa kini.Bukan mudah merubah pemikiran dan kepercayaan.Ingin merombak kepercayaan yang telah dipegang selama 35 tahun.Mustahil bukan. Dan kebanyakkan kita rela menolak bahgia asalkan kita tetap dianggap betul. “Biar aku begini..” daripada perlu berubah. Amat berat. Memerlukan azam. Tetapi yang lebih penting ialah memikirkan hal-hal yang baru bagi diri kita. Kita boleh mengubah fikiran.
Hanya kepada Allah tempat kita mengadu.

..berdoalah kamu kepadaKu, nescaya akan Kuperkenankan bagimu…(Al Mu’minum: 60)

Comments

Popular posts from this blog

Kata-kata

Misi Bertanggungjawab