Bom Jangka Dalam Diri


Setiap individu membawa bersama-sama bom jangkanya. Sekali sekala masyarakat dikejutkan oleh bom jangka yang sudah sampai masa untuk meletup. Masyarakat menganggapnya sebagai satu Kejadian yang biasa berlaku dalam kehidupan seharian. Peristiwa yang mengejutkan itu diperkatakan beberapa ketika kemudian dilupakan. Masyarakat lupa bahawa banyak lagi bom yang belum meletup. Tuan punya bom yang sudah meletup itu mungkin memiliki beberapa biji lagi bom yang belum meletup. Dia dibiarkan bebas bergerak di dalam masyarakat dengan membawa bom-bom yang masih aktif.

Bom individu mempunyai kekuatan yang berbeza-beza dalam menggoncangkan masyarakat. Ada yang lemah dan ada yang kuat. Seorang suami yang memukul isterinya hanya menggoncangkan keluarganya dan mungkin juga jirannya. Seorang petani di sebuah kampung yang menetak seekor kerbau yang memakan tanamannya boleh menggemparkan kampungnya dan mungkin juga kampung yang berhampiran. Seorang askar yang mengamuk di Chow Kit Road dengan menggunakan ‘machine gun’ mencemaskan Seluruh negara. Begitulah kekuatan bom-bom individu yang berbeza-beza. Bom-bom individu boleh bergabung untuk menghasilkan tenaga yang lebih kuat. Satu kumpulan orang awam yang bertempur dengan pihak polis di Kampung Memali menggemparkan Seluruh negara. Peristiwa 13 Mei menakutkan seluruh rakyat dan menarik perhatian dunia. Penaklukan Iraq ke atas Kuwait membawa lebih 50 buah negara ke medan perang dan menarik tumpuan seluruh dunia.

Peristiwa Memali sudahpun tamat. Peristiwa 13 Mei sudahpun tamat. Perang Teluk juga sudah tamat. Tetapi, bomb-bom yang masih aktif bertebaran di Seluruh dunia menanti masa untuk meletup.

Penyakit yang melibatkan tubuh badan mudah dikesan dan diubati. Sebaliknya penyakit bom jangka pula lebih rumit kerana kehadirannya tidak disedari. Penyakit tersebut tidak menawan mangsanya dengan tiba-tiba. Ia mengambil masa yang agak lama untuk menguasai mangsanya. Masa menyebelahinya kerana penyakit ini tidak diganggu selama ia menjalankan aktiviti menguasai mangsanya. Si mangsa tidak menyedari bahawa satu kuasa luar sedang cuba menaklukinya. Dia merasakan yang dia sendiri mengawal dirinya dalam melakukan aktiviti berkenaan, bukan dia dikawal untuk melakukannya. Apabila penyakit itu telah kuat maka ia menguasai sepenuhnya si mangsa itu dan memakaikan sifat-sifatnya kepada mangsa berkenaan. Si mangsa pula tidak menganggapkan sifat baharu yang menguasainya itu sebagai pendatang haram. Sebaliknya dia menganggapkan dan merasakan yang sifat-sifat itu sebagai sifat dan keperibadiannya sendiri. Misalnya, seorang suami yang sudah berkahwin lebih daripada lima tahun tidak pernah memikul isterinya, tetapi dia menghidapi satu penyakit tanpa disedarinya. Apabila penyakit itu sudah berjaya menguasainya maka dia diberi sifat baharu iaitu gemar memikul isteri. Dia berasa seronok memukul isterinya. Dia tidak merasakan yang sifat baharu itu adalah sifat yang dipaksakan ke atas dirinya. Dia merasakan sifat tersebut adalah sifat dirinya sendiri. Dia tidak merasakan dirinya berpenyakit. Begitu juga dengan orang yang tidak pernah pergi ke tempat pelacuran. Apabila satu jenis penyakit menguasainya dia diheret ke sarang pelacur dan sejak itu dia menjadi berminat untuk ke tempat itu. Dia tidak lagi memperdulikan isteri dan anak-anaknya. Ugutan tentang AIDS tidak melemahkan semangatnya. Fikirnya orang lain yang kena AIDS, dia tidak kena dan tidak akan kena. Begitulah kuatnya pengaruh penyakit yang dianggap sebagai bukan penyakit itu.

Contoh Ali dan Ah Chong serta Peristiwa 13 Mei

Ali dan Ah Chong sama-sama dilahirkan di Kampung Damai. Mereka membesar bersama-sama menjadi kawan yang akrab. Mereka belajar di sekolah rendah yang sama dan di dalam kelas yang sama. Begitu juga dengan persekolahan menengah mereka. Setelah tamat persekolahan menengah baharulah mereka berpisah. Ah Chong bekerja di Kuala Lumpur dan Ali bekerja di Johor Bahru. Mereka tidak berjumpa beberapa tahun. Satu hari Ali pergi bercuti ke Kuala Lumpur. Dia menginap di sebuah hotel. Malamnya Ali mendengar bunyi bising di luar bilik hotelnya. Ali keluar dan mendapati satu kumpulan pemuda Melayu bergaduh dengan satu kumpulan pemuda Cina. Salah seorang pemuda Melayu yang bergaduh itu tercampak berhampiran dengan Ali. Tubuhnya berlumuran darah. Di tangannya ada sebelah pisau. Ali terus mengambil pisau dari tangan pemuda Melayu itu dan dia meluru ke arah kumpulan yang sedang bergaduh itu. Ali dapat menikam seorang pemuda Cina tetapi pemuda Cina itu sempat membenamkan kapaknya ke kepala Ali. Mereka sama-sama rebah ke lantai. Ali memandang pemuda Cina yang ditikamnya dan pemuda itu memandang kepada Ali. Mata Ali terbeliak dan mata pemuda Cina itu juga terbeliak. Keluar perkataan dari mulut Ali, “Ah Chong, maafkan aku”. Pemuda Cina itu membalas, “Ali, maafkan aku”. Mereka berdakapan dan sama-sama menutup mata buat kali penghabisan. Ali dan Ah Chong tidak pernah menyedari selama mereka hidup di Kampung Damai dahulu mereka telah membawa bom hidup yang meragut nyawa mereka pada 13 Mei 1969.

Oleh kerana bahayanya penyakit-penyakit bom jangka itu, marilah kita memupuk kesedaran agar mengawasi kewujudan dan aktivitinya. Marilah kita membuat kajian terhadap beberapa kes supaya kita lebih memahami tentang penyakit yang kita abaikan selama ini. Mudah-mudahan jika ada di antara kita yang dikuasai oleh penyakit tersebut, kita dapat menyedarinya dan mengambil tindakan yang wajar mengubatinya.

Comments

Popular posts from this blog

Kata-kata

Misi Bertanggungjawab