Hakikat Sistem Sebab Musabab( Satu Kesimpulan Perbincangan)


Setelah mengupas sistem sebab musabab selapis demi selapis bolehlah kita susunkan lapisan-lapisannya seperti berikut:
1: Ikhtiar atau perbuatan lahir menjadi sebab musabab
2: Rangsangan syaitan menjadi sebab musabab
3: Perbuatan makhluk halus menjadi sebab musabab
4: Perbuatan dosa menjadi sebab musabab
5: Ilham malaikat menjadi sebab musabab
6: Tindakan malaikat menjadi sebab musabab
7: Doa menjadi sebab musabab
8: Amanah Allah s.w.t menjadi sebab musabab
9: Zikir menjadi sebab musabab
10:Ketentuan azali menjadi sebab musabab

Semua sebab musabab di atas menjadi nyata apabila sebab musabab yang pertama berlaku. Berbagai-bagai tenaga sebab musabab berkumpul di dalam sebab musabab yang pertama itu. Tujuan daripada sebab musabab yang pertama hingga ke sembilan adalah untuk menyatakan sebab musabab yang ke sepuluh, iaitulah ketentuan pada azali. Manusia secara umumnya memandang sebab musabab yang pertama secara sendirian tanpa dikaitkan dengan yang lain-lain. Jika ikhtiar tidak mengeluarkan akibat yang sesuai dengan sebab yang diadakan maka seseorang itu terus mengatakan hal demikian adalah nasib atau takdir, iaitu sebab musabab yang ke sepuluh. Manusia hanya memberi tumpuan kepada ikhtiar yang zahir. Bila bidang ikhtiar yang zahir telah kecundang mereka terus mengatakan ikhtiar sudah habis. Jika kita tilik kepada susunkan sebab musabab kita dapati ikhtiar tidak habis, hanya pada sebab musabab yang ke sepuluh tidak ada ikhtiar.

Kita boleh memilih untuk menurut rangsangan syaitan atau pun tidak. Begitu juga dengan ilham malaikat yang sampai kepada kita. Kita boleh berikhtiar daripada dimasuki oleh ilmu hitam atau ilmu makhluk halus. Kita boleh mengelakkan diri daripada berbuat dosa dan juga boleh bertaubat untuk keluar daripada arus sebab musabab yang menjadi hukuman kepada dosa. Kita juga boleh berdoa untuk mendapatkan sebab musabab yang baik. Kita juga boleh memilih untuk berjanji dan bersumpah atau tidak ataupun menunaikannya ataupun tidak. Kita juga boleh memilih untuk berzikir. Hanya apabila sampai kepada sumber sebab musabab iaitu ketentuan pada azali baharulah tidak ada ikhtiar memilih, baharulah dinamakan takdir. Dalam hal ketentuan pada azali ini tidak ada makhluk samada manusia, jin atau malaikat yang berkuasa campur tangan. Ketentuan pada azali menjadi kuasa yang menyerap ke dalam semua sistem sebab musabab. Ini bermakna sekalipun kita boleh berikhtiar dan memilih namun, ikhtiar dan pilihan kita tetap tunduk kepada kuasa penentuan pada azali. Bila dipandang dari aspek ini maka boleh juga jika dikatakan bahawa ikhtiar dan pilihan itu sendiri merupakan nasib atau takdir yang sudah ditentukan pada azali.

Dalam meneliti hukum sebab musabab kita dapati sebab musabab peringkat batin jauh lebih luas dan kuat daripada sebab musabab peringkat zahir. Yang zahir lebih berupa menyatakan apa yang terkandung pada yang batin.

Landasan utama perjalanan sebab musabab ada dua, iaitu landasan dosa dan landasan kebajikan. Selain itu, landasan yang tidak bersangkut paut dengan dosa atau kebajikan adalah landasan takdir yang tidak dimengerti dan tidak ada jawapan kepada pertanyaan mengapa. Dalam landasan dosa penggerak utamanya ialah syaitan. Malaikat pula menjadi penggerak utama pada landasan kebajikan. Apa yang dikatakan dosa ialah perbuatan yang dipersetujui oleh hati menurut rencana syaitan. Perbuatan dosa sukar dilakukan pada pertama kalinya tetapi bila dosa pertama sudah berlaku mudahlah melakukan yang seterusnya..

Satu perkara yang menarik untuk direnung ialah samada makhluk halus atau ilmu hitam berkemampuan mendatangkan mudarat kepada manusia.
“Katakanlah: ‘Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk. Dari bencana makhluk-makhluk yang diciptakan-Nya. Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk. Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan). Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya”. (Surah al-Falaq, ayat 1 – 8).

“Dan mereka turut apa-apa diceritakan oleh syaitan mengenai kerajaan Sulaiman padahal Sulaiman tidak kufur, syaitan yang kufur. Mereka ajarkan (ilmu) sihir kepada manusia dan (ilmu) yang diturunkan kepada dua orang malaikat Harut dan Marut di negeri Babil padahal mereka tidak mengajar seseorang melainkan sesudah menasihati dan berkata, ‘Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji aman kamu) oleh itu janganlah kamu kufur’. Dalam pada itu ada juga orang yang mempelajarinya dari mereka berdua ilmu sihir yang menceraikan antara suami dengan isterinya dan padahal mereka tidak dapat memberi mudarat dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka telah belajar perkara yang membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya (kaum Yahudi) itu tahu bahawa sesiapa yang menggunakan (ilmu sihir) itu tidak mempunyai bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui”. (Surah al-Baqarah, ayat 102).

Dalam surah al-Falaq Allah s.w.t menceritakan tentang sebahagian daripada kejadian-Nya yang dikaitkan dengan kejahatan. Biasanya kita menganggap kejahatan sebagai sifat kepada sesuatu, bukan sesuatu yang wujud. Selain kejahatan banyak lagi perkara-perkara yang dianggap sebagai sifat yang dilekatkan kepada sesuatu. Penglihatan, pendengaran, ketajaman dan lain-lain diistilah sebagai sifat bukan sesuatu yang wujud. Cuba kita renungkan. Bila kita mahu melihat kita gunakan mata, mahu mendengar kita gunakan telinga. Bila mahu memotong kita menggunakan pisau. Jika dipandang dalam aspek ini kita dapati mata, telinga dan pisau menjadi alat sementara penglihatan, pendengaran dan ketajaman menjadi sifat yang melekat pada alat. Tetapi jika penglihatan tidak wujud kewujudan mata tidak berupaya membuat orang melihat. Jika pendengaran tidak wujud kewujudan telinga tidak berupaya membuat orang mendengar. Jika ketajaman tidak wujud kewujudan pisau tidak berupaya memotong. Sentuhan penglihatan perlu bagi mata untuk melihat. Sentuhan pendengaran perlu bagi telinga untuk mendengar. Sentuhan dari ketajaman perlu bagi pisau untuk memotong. Begitu juga sentuhan dari kejahatan perlu bagi sesuatu merasai kejahatan. Banyak perkara boleh disentuh oleh kejahatan untuk meninggalkan kesan jahat. Kejahatan boleh bergerak melalui berbagai-bagai cara. Surah al-Falaq menceritakan sebahagian daripada cara-cara kejahatan bergerak. Ia bergerak melalui benda-benda yang Tuhan jadikan seperti malam yang kelam, orang yang menipu di simpulan (dukun atau ahli sihir) dan manusia yang pendengki.

Ayat 102 Surah al-Baqarah pula menceritakan tentang kejahatan yang bergerak melalui ilmu hitam. Ilmu jenis ini asalnya dimiliki oleh dua orang malaikat di negeri Babil bernama Harut dan Marut. Manusia telah datang kepada Harut dan Marut untuk mempelajari ilmu tersebut. Harut dan Marut bersedia mengajarkan ilmu tersebut tetapi mereka memberi peringatan bahawa mereka adalah ujian bagi manusia. Peranan Harut dan Marut samalah seperti peranan tukang besi yang tahu membuat pedang. Manusia yang mengambil pedang dari tukang besi boleh menggunakannya untuk menegakkan keadilan dan boleh juga untuk melakukan kerosakan. Manusia yang mengambil ilmu Harut dan Marut menggunakannya untuk memporak-perandakan rumah tangga orang lain. Ilmu tersebut digunakan untuk melakukan kerosakan di atas muka bumi. Al-Quran memberitahu bahawa mengamalkan ilmu yang demikian membahayakan diri sendiri. Ini disebabkan pengamalnya diresapi oleh makhluk halus yang akan turut sama dalam segala aktiviti kehidupannya; makan bersama, minum bersama hinggakan bersetubuh pun bersama.

Orang yang mengamalkan ilmu tersebut akan mengadakan hubungan kelamin dengan pasangannya dalam keadaan dirinya diresapi oleh makhluk halus. Tenaga kebatinan makhluk halus jauh lebih kuat daripada tenaga manusia. Pasangan orang berkenaan akan kehilangan banyak tenaga setiap kali mereka mengadakan hubungan kelamin. Akibatnya pasangan ini tidak berdaya memuaskan nafsu pasangannya. Jiwanya akan terganggu. Dia menjadi takut untuk mengadakan hubungan kelamin dengan pasangannya. Orang yang menjadi mangsa ini akan kelihatan pucat, kurus kering, tidak bertenaga dan menghidapi penyakit yang tidak diketahui jenisnya.

Apabila melihat kepada keampuhan ilmu yang diterima daripada Harut dan Marut ini kita berasa takjub akan keberkesanannya. Kita lupa bahawa ayat 102, Surah al-Baqarah menegaskan bahawa mereka tidak mampu membahayakan seseorang melainkan dengan izin Allah s.w.t. “Dengan izin Allah” inilah kekuatan yang sebenarnya bukan ilmu berkenaan. Ilmu jahat itu hanya boleh memberi kesan jika Allah s.w.t Izinkan. Hak untuk mengizinkan itu adalah hak mutlak Allah s.w.t sahaja. Jika ilmu demikian singgah kepada kita perlu bertanya mengapa Allah s.w.t Izinkan hal yang demikian berlaku ke atas diri kita. Jangan taksub kepada kemujaraban ilmu tersebut tetapi kita mesti periksa diri kita dalam bidang manakah hubungan kita dengan-Nya tidak kuat sehinggakan ada ruang bagi kejahatan sampai kepada kita. Apa yang berlaku menjadi peringatan agar kita insaf bahawa tanpa perlindungan Allah s.w.t kita mudah dirosakkan oleh kejahatan. Surah al-Falaq mengajar kita supaya berlindung kepada Allah s.w.t. Kejahatan adalah umpama anjing dan Tuhan yang mengawalnya. Pengawal hanya melepaskan anjing itu untuk membaham orang yang patut dibaham. Ayat 102 pula memberi peringatan bahawa selain mendatangkan mudarat kepada diri sendiri Pengamal ilmu hitam itu juga tidak berpeluang merasai kebaikan di akhirat. Apa juga kebaikan yang ada dengan orang ini akan diberikan kepada orang yang dianiayainya. Jika kebaikannya sudah habis dia terpaksa pula mengambil kejahatan orang tadi. Orang yang menjadi mangsa mendapat keuntungan besar di akhirat.

Begitulah lebih kurang persoalan tentang kejahatan. Pandanglah dengan mata hati untuk melihat kewujudan kejahatan seperti kewujudan demam. Ibu demam, bernama Ummu Maljan, pernah menghadap Rasulullah s.a.w menanyakan kepada puak manakah Rasulullah s.a.w mahu dia pergi. Setelah mendapat keizinan dari Rasulullah s.a.w ibu demam pun pergi kepada puak yang dipilih oleh baginda s.a.w. ia tinggal di sana selama satu minggu. Selama itu puak tersebut mengalami demam. Bila ibu demam meninggalkan mereka maka mereka pun kembali sihat. Demam itu telah menghapuskan dosa mereka. Pada zaman Nabi Daud a.s pula angin pernah dibawa menghadap Nabi Daud a.s dan dibicarakan.

Oleh itu Pandanglah perkara ghaib dengan mata hati untuk mendapatkan pengertian yang lebih mendalam. Kebaikan, kejahatan, penyakit dan lain-lain adalah tenaga yang Tuhan ciptakan bukan ciptaan makhluk. Oleh itu sentiasalah berlindung kepada-Nya bukan sujud kepada makhluk.

Kita kembali menyimpulkan persoalan sistem sebab musabab. Kita, manusia, bersifat lemah. Kita cenderung berbuat dosa. Semakin banyak dosa yang kita lakukan semakin teguh sebab musabab dari landasan dosa sampai kepada kita. Pada landasan inilah terdapat hal-hal seperti kejahatan, ketakutan, kerisauan, kebimbangan, kegelisahan dan lain-lain yang menekan jiwa. Walaupun sebab musabab dari landasan ini membawa kepada kita harta yang banyak, pangkat yang tinggi, isteri yang cantik dan kedudukan yang mulia tetapi semuanya itu datang dengan desiring oleh hal-hal yang menekan jiwa. Selama kita berada di atas landasan dosa kita tidak akan terlepas daripada kekacauan jiwa. Kita tidak akan temui kepuasan, kedamaian dan kesejahteraan. Oleh itu keluarlah daripada landasan tersebut.

Setelah keluar daripada landasan dosa, sebelum masuk kepada landasan kebajikan, terdapat sempadan yang hukum sebab musabab berfungsi membersihkan diri daripada dosa dan menyucikan hati. Pintu untuk masuk ke sempadan ini ialah taubat. Dalam daerah ini terdapat persaingan antara hal-hal yang menekan jiwa dengan hal-hal yang meringankan beban tekanan tersebut. Sebab musabab dalam daerah ini memberi kesan yang bercampur-campur di antara suka dengan duka, tenteram dengan risau, senang dengan susah dan bahagia dengan sengsara. Semakin jauh kita tinggalkan daerah ini semakin kurang kesan negatif ke atas jiwa kita. Bila kita sudah melepasi daerah ini jiwa kita akan menjadi tenteram. Tidak ada lagi kekacauan.

Selepas melepasi daerah yang dinyatakan di atas kita akan menemui daerah kebajikan. Hukum sebab musabab dalam daerah ini tidak lagi membawa hal-hal yang menekan jiwa. Hal yang demikian tidak bermakna yang datang kepada kita dalam daerah ini semuanya nikmat. Masih ada lagi perkara yang dipanggil bala seperti penyakit dan kemiskinan. Tetapi ketakutan, kerisauan, kekacauan dan yang seumpamanya tidak ada lagi. Oleh itu walaupun bala bencana datang jiwa tetap mampu bersabar dan bertenang. Bila nikmat datang jiwa akan gembira dan bersyukur tetapi tidak sampai kepada takabur dan sombong. Fungsi hukum sebab musabab dalam daerah ini ialah memperelokkan seseorang hamba itu, mengemaskan yang longgar, menegakkan yang condong dan menambahkan yang kurang sehingga menjadi cukup kuat, bersih, tegak, lurus dan tidak ada cacat celanya.

Selepas hal yang disebut sebelum ini, perjalanan sebab musabab menjadi sangat berbeza walaupun kejadian yang berlaku sama seperti hal-hal lain. Sukar untuk ditemui satu istilah yang tepat untuk menggambarkan perkara yang berlaku dalam hal ini. Istilah-istilah seperti ketenangan, kedamaian dan kebahagiaan tidak memadai untuk menceritakan yang sebenarnya di sini. Kita renungi lipatan sejarah seorang wanita bernama Asma’ binti Abu Bakar as-Siddik. Ketika Rasulullah s.a.w memulakan hijrah dengan bersembunyi di dalam Gua Thur bersama-sama Abu Bakar as-Siddik r.a, Asma’ telah memainkan peranan penting dengan menghalau kambing-kambing untuk menutupi jejak yang dibuat dan beliau juga menghantar bekalan. Ketika Asma’ r.a sudah tua dan matanya sudah tidak boleh melihat lagi, selepas Ali r.a digulingkan dari jawatan khalifah, puak yang menang telah menuduh anak Asma’ r.a sebagai pemberontak. Dia ditangkap dan dibunuh. Mayatnya diheret berhari-hari melalui segenap lorong sehingga mayat itu menjadi busuk. Mayat yang sudah busuk itu dibawa lalu di hadapan rumah Asma’. Berkatalah Asma’, “Mayat siapakah yang aku cium ini tersangat wangi baunya”. Bila diberitahu mayat itu adalah mayat anaknya yang telah dibunuh oleh pemerintah Asma’ pun berkata, “Alhamdulillah! Maha Suci Allah yang telah memilih aku menjadi ibu kepada seorang pemuda yang bahagia”. Hukum sebab musabab membawa bau busuk kepada semua orang tetapi membawa bau harum kepada Asma’ seorang. Hukum sebab musabab membawa kesedihan kepada ibu yang anaknya dibunuh tetapi membawa kegembiraan kepada Asma’.

Apakah yang dapat dikatakan tentang hukum sebab musabab dalam daerah ini. Hukum sebab musabab membawa ketakutan kepada semua orang yang akan dicampakkan ke dalam kuali besar yang berisi minyak yang sedang menggelegak tetapi membawa kedamaian kepada Masitah, tukang sikat anak Firaun. Masitah tidak sedikit pun terkilan bila dia dicampak ke dalam minyak panas itu. Hukum sebab musabab membawa kesakitan dan kesengsaraan kepada orang yang berkudis kakinya tetapi bagi Tok Kenali kudis itu menjadi bekas dia memelihara sahabatnya, seekor ulat.

Kita telah melihat berbagai-bagai jenis hukum sebab musabab. Apakah yang akan terjadi sekiranya semua hukum sebab musabab itu berlaku sekaligus kepada seorang manusia? Bagaimana pintu sebab musabab boleh terbuka sekaligus dan serentak menyerang seseorang manusia itu? Kejadian yang berlaku di sebuah kampung mungkin boleh dijadikan iktibar. Imam di kampung itu mempunyai seorang anak lelaki yang gemar ‘mengintai’. Hebohlah dalam kampung itu tentang anak Tok Imam yang suka mengintai. Apabila Tok Imam itu sudah tidak tahan lagi menanggung malu dia pun mengumpul empat puluh lelaki. Mereka melakukan sembahyang hajat beramai-ramai memohon kepada Tuhan mengubah perangai jahat anaknya, biar semua orang kampung selamat daripada kejahatannya. Selang tidak berapa lama si anak itu berubah secara mengejut. Dia tidak lagi mengintai. Bukan setakat itu sahaja malah dia tidak mahu naik ke rumahnya. Dia menyembunyikan diri di bawah rumah. Puas dipujuk namun dia tetap tidak mahu naik ke rumah. Lalu Tok Imam membuat bilik khas untuk anaknya di bawah rumah. Di situlah dia makan, minum, tidur dan sebagainya, tidak berjumpa dengan sesiapa lagi. Jika ada orang datang dia akan lari menyembunyikan diri.

Mengapa terjadi demikian kepada anak Tok Imam itu? Si anak itu bukanlah seorang yang gemar beribadat. Seperti kebanyakan pemuda dia hanyut di dalam arus keduniaan. Tanpa makanan rohani hatinya menjadi lemah. Perbuatan dosa yang dilakukannya menambahkan kelemahan jiwanya. Kegemarannya suka mengintai itu menyebabkan ramai orang yang sakit hati dengan menggunakan ilmu pesaka Harut Marut untuk mendatang mudarat kepadanya. Jadi, sebelum dilakukan upacara sembahyang hajat si anak itu telah berhadapan dengan hukum sebab musabab berikut yang bersedia untuk menimpa ke atasnya:
1: Rangsangan syaitan
2: Makhluk halus yang dihantar secara ilmu hitam.
3: Hukuman terhadap dosa.
4: Bala sebagai pembersih.
Sebelum dilakukan sembahyang hajat hukum sebab musabab turun secara beransur-ansur silih berganti. Bila sembahyang hajat dilakukan beramai-ramai doa orang ramai telah membuka satu dimensi atau pintu khas, pintu besar yang mempunyai saluran kepada semua hukum sebab musabab. Bila pintu besar ini terbuka semua hukum sebab musabab jatuh menimpa anak Tok Imam tersebut. Rangsangan syaitan menekan jiwanya. Makhluk halus yang selama ini menunggu kini boleh ikut serta mengenakan kejahatannya. Hukuman ke atas dosanya turun serentak ke dalam jiwanya. Bala juga datang untuk membersihkannya. Dalam keadaan macam itu budak itu tidak mampu bertahan. Jiwanya terlalu tertekan menyebabkan dirinya hancur atau lenyap. Kesedarannya sebagai manusia biasa sudah hilang. Dia tidak lagi menjadi rakyat dunia. Dia sudah menjadi rakyat alam lain yang bukan alam nyata.

Sembahyang hajat dan doa beramai-ramai mengambil fungsi sebagai sumpahan beramai-ramai. Orang ramai telah menolak budak berkenaan daripada alam mereka dan menyerahkannya kepada Allah s.w.t. Budak itu menjadi hak mutlak Allah s.w.t. Orang ramai tidak boleh lagi campur tangan dalam urusannya. Budak itu dikeluarkan daripada alam orang ramai dan dimasukkan ke dalam alam yang mempunyai sifat khusus baginya.

Orang yang telah bertukar sifat boleh mengambil beberapa jenis watak. Ada orang yang demikian berfungsi menjadi cubaan kepada orang ramai. Orang seperti ini mungkin akan memaki sesiapa sahaja yang lalu di hadapannya. Dia mungkin membaling batu ke rumah siapa sahaja. Dia mungkin mengaibkan siapa sahaja. Anak Tok Imam itu pula berubah sifat secara putus hubungan dengan alam sekelilingnya. Dia mempunyai alamnya sendiri.

Sifat khusus yang mengenai seseorang banyak bergantung kepada keadaan semasa orang berkenaan. Sekiranya sebab musabab dalam bidang menghukum dosa paling kuat menguasainya, tekanan yang hebat ke atas jiwanya boleh menyebabkan dia hilang kewarasan. Jika sebab musabab sebagai pembersih dan penampung kecacatan lebih kuat, maka orang berkenaan akan pergi ke alam zuhud, memisahkan dirinya daripada makhluk, tinggal di dalam hutan dan gua, membenamkan dirinya terus menerus di dalam ibadat dan tidak menghiraukan urusan dunia. Jika sebab musabab yang menaikkan darjat lebih kuat menguasainya, dia akan keluar dari sistem sebab musabab dan masuk kepada alam perbuatan Tuhan. Iktikadnya adalah segala sesuatu adalah perbuatan Tuhan, tiada makhluk yang berupaya menghasilkan sesuatu.

Jika diringkaskan kesan daripada sembahyang hajat dan berdoa beramai-ramai itu bolehlah disusun perubahan yang berlaku kepada orang berkenaan seperti berikut:
1: Terjadi perubahan mendadak pada diri orang berkenaan.
2: Perpisahan dengan sifat normal dan memakai sifat khusus.
3: Pengasingan dengan alam yang mengandungi kegiatan biasanya.
4: Menjadi percubaan kepada keluarga dan orang ramai.
5: Melepaskan diri daripada taklukan makhluk.
6: Hanya tunduk kepada hukum dan perintah Allah yang menjadi pakaiannya, samada hukum gila, zuhud, mengaibkan orang ramai, mendatangkan kesusahan kepada orang lain, memperjuangkan sesuatu dan lain-lain mengikut bentuk sifat khusus yang dipakaikan kepadanya.

Secara umumnya orang yang dicabut hak dirinya dan dipakaikan dengan hak mutlak Allah s.w.t akan menggunakan ‘kerakyatan’ khusus baginya, keperibadian dan sifat yang khas hanya untuknya yang berbeza dengan orang ramai dan tertakluk kepada hukum sebab musabab yang khas untuknya. Dia tidak ada keinginan, kehendak dan kekuatan untuk keluar dari bidang sebab musabab yang menguasainya untuk masuk ke bidang yang lain. Orang yang seperti ini jika dia menerima rangsangan atau ilham untuk melakukan sesuatu dia akan berbuat demikian tanpa mengira lojik dan risiko. Orang gila yang menerima rangsangan supaya membakar rumah orang akan berbuat demikian tanpa memperdulikan samada dia akan dipukul atau ditangkap oleh polis. Orang zahid pula jika dia menerima ilham agar tidak mengganggu urusan orang lain dia tidak akan mencampurinya walaupun ada orang yang hampir mati meminta bantuannya. Orang yang melepaskan hak diri dan memakai hak Allah s.w.t jika dia menerima ilham agar mengambil sesuatu maka dia akan mengambilnya tanpa mengira barang kepunyaan orang lain kerana baginya hanya Allah jualah Pemilik yang sebenar. Orang seperti ini menjadi alat bagi Allah s.w.t Mempamerkan sebab musabab yang sudah tertera pada azali.

Begitulah perjalanan sebab musabab yang bersimpang siur dalam kehidupan hairan. Suasana hati bertanggungjawab menjemput sebab musabab yang sesuai dengannya. Bidang sebab musabab yang menguasainya itulah yang menentukan hati itu bahagia atau celaka. Alat yang sangat berkesan bagi mengubah suasana hati kepada yang lebih baik ialah zikir. Zikir menjadi sebab musabab yang mengimbangi sebab musabab yang lain. Zikir dapat mempertahankan diri daripada rangsangan syaitan, menjadi benteng daripada serangan makhluk halus, mencairkan dosa yang berkarat pada dinding hati seterusnya mengubah hati menjadi bersih dan masuk ke dalam sebab musabab yang mensejahterakan. Zikir memainkan peranan yang besar dalam membentuk kehidupan seseorang hamba Allah s.w.t. Kita tidak dapat mengawal orang lain dan sebab musabab yang menguasainya yang juga memberi kesan kepada kehidupan kita. Kita juga kadang-kadang tergelincir melakukan dosa. Kejahatan benda dan suasana, kejahatan orang yang mengamalkan ilmu Harut Marut dan kejahatan pendengki sentiasa mencari peluang untuk mengenakan kita. Bagi menghadapi semua itu kita diajarkan supaya berlindung kepada Allah s.w.t, ingat atau berzikir kepada-Nya. Kita juga selalu mengabaikan perjanjian dan sumpah dan tidak pula menebusnya. Mungkin ada pula orang yang mendoakan agar kita ditimpa kesusahan. Ini semua melemahkan diri kita. Bagi memulihkan kekacauan kita perlu memasukkan tenaga zikir sebagai sebab musabab pengimbang. Surah al-Falaq mengajarkan kita supaya berlindung dengan Tuhan yang memiliki cuaca subuh. Jika mahu mengenali cuaca subuh bangunlah sebelum subuh. Waktu sebelum subuh itu merupakan waktu yang sangat berkat. Pintu rahmat dibuka dengan seluas-luasnya. Sesiapa membuka pintu hatinya tatkala cuaca subuh akan berhamburanlah rahmat dan nikmat memasuki ke dalam hatinya.

Demikianlah perjalanan sebab musabab yang mampu direnungi. Mungkin terdapat kesalahan, kesilapan dan kekeliruan di sana sini sepanjang renungan yang dibuat. Kesalahan, kesilapan dan kekeliruan itu terjadi lantaran kelemahan dan kebodohan penulis sendiri. Jika terdapat kebenaran maka kebenaran itu dari Allah s.w.t, hak Allah s.w.t dan segala puji dan syukur untuk-Nya Tuhan sekalian alam.

Kesemua hukum sebab musabab yang mengenai kita dan sekalian makhluk adalah untuk menzahirkan hukum sebab musabab ketentuan pada azali. Apa yang dinamakan hukum sebab musabab itu sebenarnya adalah perintah atau urusan Tuhan. Urusan yang bersabit dengan makhluk dihantar ke Loh Mahfuz, dicatat oleh malaikat penjaga. Ia kemudian dihantarkan kepada makhluk yang berkenaan. Urusan tersebut melalui berbagai-bagai peringkat dan cara sebelum sampai kepada manusia. Peringkat atau cara itulah dinamakan sebab musabab. Ia berlaku dengan rapi dan tepat kerana tidak ada penyelewengan pada malaikat yang menjalankan tuagsnya.

Terdapat satu bentuk perintah Allah s.w.t yang tidak melalui malaikat. Perintah tersebut disampaikan oleh Allah s.w.t secara langsung kepada Nabi Muhamamd s.a.w. Ia terjadi pada malam Rasulullah s.a.w mikraj hingga ke puncak alam makhluk.
“Dan aku (Nabi Muhamamd s.a.w) melihat satu Qubah dari permata putih tergantung tanpa hubungan yang menanggung atau memegangnya”. (Maksud Hadis).

Tempat tersebut berada di dalam ruang alam melepasi Sidratul Muntaha, dalam peringkat Alam Hijab yang hanya Rasulullah s.a.w seorang sahaja sampai ke sana. Di sanalah baginda s.a.w menerima perintah sembahyang.

Nabi Muhamamd s.a.w menerima perintah sembahyang secara langsung dari Allah s.w.t. Sembahyang adalah harta yang paling berharga sebab itu baginda s.a.w dijemput untuk mengambilnya. Tidak ada kurniaan Allah kepada umat manusia melebihi nilai sembahyang. Sembahyang dikurniakan kepada Rasulullah s.a.w di tempat paling tinggi pada alam makhluk ini, tidak ada apa-apa lagi sesudahnya.
“Sesungguhnya kepada Tuhan kamulah penghabisan (tempat kembali)”. (Surah an-Najmi, ayat 42).

Penghabisan perjalanan makhluk adalah permulaan perintah Allah s.w.t. Penghubung antara keduanya adalah sembahyang. Tanpa sembahyang tidak ada hubungan manusia dengan Tuhannya. Perintah yang diterima oleh Alam Hijab tidak diketahui oleh malaikat yang di luar Alam Hijab, hanya Allah s.w.t yang mengetahuinya. Hamba yang masuk ke dalam sembahyang tidak diketahui oleh orang lain, tetapi Allah Maha Mengetahui keadaannya.

Di akhirat kelak, jika sembahyang diterima baharulah amalan lain dikira. Jika sembahyang ditolak maka tertolaklah segala amalan lain. Begitu juga halnya di dunia. Jika sembahyang didirikan dengan sempurna baharulah sempurna hidup insan. Sembahyang mencegah kejahatan dan kemungkaran. Bukan sekadar menjauhkan diri kita daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran malah sembahyang juga menghalang kejahatan dan kemungkaran yang dari luar sampai kepada kita. Jika sembahyang berdiri teguh maka teguh pulalah benteng pertahanan diri. Jika ia roboh akan roboh juga kubu pertahanan itu. Sembahyang menjadi nadi penggerak sekalian hukum sebab musabab. Warna sembahyang menentukan warna sebab musabab yang sampai. Tanpa sembahyang hanya sebab musabab yang gelap, tiada cahaya, yang sampai. Mungkin aneh jika disimpulkan bahawa kecelakaan, bala, penyakit, kesusahan dan lain-lain yang negatif menimpa manusia adalah kerana tidak menjaga amanah sembahyang. Inilah hakikat yang mesti diakui oleh semua orang yang beriman. Jika mahu mendapat kesejahteraan dari Allah s.w.t berzikirlah kepada Allah s.w.t dengan memelihara sembahyang.
“Dan dirikan sembahyang bagi mengingati Daku!” (Surah Ta Ha, ayat 14).

Comments

Popular posts from this blog

Kata-kata

Misi Bertanggungjawab