Pantulan Cermin









"Kenapa Uzair menangis ni.." saya menyoal anak bongsu yang sering mengalami perasaan tidak puas hati.Seringkali inginkan bantuan untuk merasa selamat secara emosi dan fizikal.

"Abang ejek Uzair budak suka menangis dan kuat merajuk" katanya sambil memandang abangnya dengan perasaan geram.
"Abang, kenapa ejek adik,abang nak mulakan pergaduhan ke.." Saya terus menyoal untuk mendapat kepastian.

"Tadi uzair yang mula ejek abang kedekut, bukan abang tak bagi pinjam tapi tunggulah dulu" pembelaan diri daripada si abang. Rahsia sebab musabab mula terungkai sedikit demi sedikit.
Uzair merasa tergugat dengan penjelasan si abang dan mula merasa memulakan situasi ejek- mengejek.
"Kemudian abang ejek uzair balik" Balas saya sedikit geram. Tindakan berbalas-balas kerana merasa wajar membalas serangan lawan. Kedua anak saya tertunduk mungkin mula merasa bersalah.

Insiden yang sering melanda adik beradik. Tidak kira semasa kecil dan akan merebak sehingga dewasa jika ibubapa kurang peka untuk memahami serta menyelesaikannya secara perlahan-lahan.Keadilan adalah sentuhan hati dan oksigen yang diperlukan oleh kedua anak kecil ini.Saya terhenti berkata dan fikiran ligat mencari alternatif. Apa yang perlu diperkatakan untuk agar mereka tidak rasa bersalah tetapi mengerti tentang kesalahan diri masing-masing.Apa yang perlu dilakukan agar mereka belajar sesuatu dengan kejadian ini. Saya mahu mengajarnya erti hidayah dalam setiap kejadian yang dicipta Allah. Mengajar mereka erti dan makna hikmah yang mampu diambil walaupun kejadian itu menyakitkan hati. Sukar untuk berkata...sukar lagi perasaan sianak yang sedang dalam kandang pengadilan. Jadi saya si ayah yang bagaimana mahu menghukum dan mengajar?

Maka disebabkan rahmat Allah-lah kamu menjadi berlaku lemah -lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauh dari sekelilingmu...( Ali-'Imran : 159)

"Adib, Uzair mari duduk dekat babah?" Saya mula melangkah dan mendapat kekuatan.
"Kamu berdua adik beradik yang sepatutnya berbaik-baik kan ?" mereka mengangguk dan saya tahu dihati mereka masih tidak merasa aman. kerena keinginan mereka hanyalah agar saya memarahi salah seorang dan seorang lagi merasa kemenangan. Tapi saya tidak mahu itu berlaku.

" Nabi Muhammad saw pernah tak diejek ?" tanya saya untuk membawa mereka kepada satu penanda arasan yang terbaik.
"Pernah !!"jawab mereka serentak. Saya tahu mereka telah mendengar banyak sirah nabi semasa di sekolah PASTI.
"Nabi sabar aje apabila diejek dan pernah dibaling dengan batu" sambung si abang.
"Betul tu Babah..Cikgu Miza dah cerita dah". Pergaduhan tadi sedikit reda dan dilupakan. Kini timbul pula kerjasama dalam melengkapkan cerita kesabaran nabi itu.

"Ha,macam itulah yang kita kena ikut" Jawab ku untuk mengaitkan kembali tentang tindakan yang perlu diambil apabila peristiwa EJEK berlaku lagi di dalam rumah atau semasa di mana-mana.Hakikatnya setiap muslim perlu memiliki penanda aras yang telah digarisi agama.

Dan, tidaklah Kami utus kamu kecuali menjadi rahmat bagi semesta alam.( Al-Anbiya':107)

"Lain kali apabila kita diejek, jangan kita fikirkan dan pandang orang yang mengejek kita. Sebab kita akan rasa nak ejek dia balik. Tapi fikirkan tentang sifat-sifat nabi. Kita ada masa untuk memilih apa yang nak kita lakukan." kata saya untuk diri saya dan ahli keluarga. Saya cuba memahami dan belajar kembali untuk bertindak berhikmah melalui kelahiran anak-anak ini. Saya sekarang pemegang amanah. Tiada jalan lain selain saya perlu berilmu dan mengamalkannya agar menjadi teladan kepada benih yang sedang bercambah seterusnya penyambung obor amanah. Itulah kita, seorang muslim penyambung kebaikan.(Khalifah)

Itu jualah yang saya fikitkan tentang masyarakat di mana amat memerlukan para pemimpin yang berakhlak agar mampu dijadikan penanda aras oleh para pengikut.UMNO pula penanda arasnya PAS. Pas penanda arasnya ialah UMNO. Jadi sekiranya pihak yang bertentangan mempunyai akhlak yang mulia, pihak satu lagi akan membalas kemuliaan juga.

"Adib perlu tunjukkan perangai yang baik pada Uzair tau..nanti uzair takkan ejek abang lagi..Uzair pulak jangan ejek abang..abang takkan ejek Uzair." Hukum benih, menuai apa yang ditanam fikirku secara falsafah.Mereka mengangguk faham. Tapi saya faham , itu bukan kali terakhir saya menyatakan perkara ini kepada mereka.Esok akan reda tapi dua seminggu lagi peristiwa ini akan berulang. Mereka belum mampu mencanai maklumat. dan saya perlu berterusan membimbing mereka.Meletihkan, mencabar, memerlukan kreativiti dan hidayah serta petunjuk Allah.

Situasi ini berlaku dalam keluarga saya. Tetapi itu jualah yang berlegar dalam organisasi, masyarakat, golongan agama, golongan politik dan seluruh jiwa manusia yang bersosial. Penanda arasan yang baik akan melahirkan respon yang baik. Dan penanda arasan yang tidak baik akan berbalasan dengan tindakan selanjutnya iaitu PERMUSUHAN.

"Golongan kau boleh mencaci golongan aku, golongan aku boleh juga mencaci golongan kau" itulah yang berlaku dalam masyarakat kita bermula dari dalam keluarga. Mereka belajar melalui insiden adik beradik. dan si ayah pula ialah pembaja yang tegar. Akhirnya semua berhubungan menjadi kucar kacir. Bermula dari masalah kesilapan penanda aras.
Saya kembali belajar daripada si kecil yang tiada prasangka. Anak-anak adalah kitab untuk kita kembali kepada fitrah. Bermula dari kesilapan penanda arasan. Dan kita perlu menjadi kanak-kanak semula.Kembali belajar menuju fitrah.

Comments

Popular posts from this blog

Kata-kata

Kisah Zhu Yuanzhang