Susahnya Soalan










"Babah dan Umi, kenapa orang tu tak pakai tudung, kan dia dah besar?", soal Rauzah sepontan apabila situasi yang berlawanan dengan adab islamik yang telah dipelajarinya.Soalan yang sarat dan berat untuk dijawab secara spontan. Soalan yang berat dengan persepsi dan penilaian. Bagaimana rangka penilaian kanak-kanak. Ibubapa terpaksa berfikir sejenak sebelum mengeluarkan solusi.

"Apa yang kakak fikirkan ?" tanya uminya mencungkil buah minda yang teruja sedikit keliru.
"Hukumnya berdosakan , kakak darjah 2 pun tahu tentang tu, kenapa dia dah besar masih tak faham ? keluar lagi kenyataan penilaian yang dah bebaur hukuman.

Sebagai ibubapa kita sering dihujani soalan-soalan sedemikian. Kenapa kakak tu tak sembahyang. Kenapa orang tu tak puasa. kenapa..kenapa dan kenapa yang diluar kotak persepsinya dan diluar corak kehidupan yang telah dilaluinya dalam alam keluarga dan alam persekolahan. Pengetahuan dan realiti yang berbeza. Itulah yang di luar dunianya.

"Kakak sangat beruntung kerana umi dan babah selalu ingatkan tentang perkara yang halal dan haram" ujar saya memulakan langkah.
"Habis diaorang tak de ibubapa" kakak terus mendesak tentang hanya kebenaran dirinya.

"Ya, tapi mungkin ibubapanya tidak begitu faham dan mengambul berat. Kalau ibubapanya tahu dan faham, takkan lah mereka tak mahu memberi nasihat" kata saya dan amat sukarnya saya untuk menyatakan tentang persoalan warisan pendidikan turun temurun dalam soal pendidikan sesebuah institusi kekeluargaan. Hakikatnya, persekitan pendidikan turun temurun yang sentiasa menghantui sesebuah keluarga sehingga ke cucu cicit. Sering kita dengar tentang sejarah sikap baran berulang-ulang dalam keluarga.Sikap boros berterusan dari generasi ke generasi. Termasuk soal kesihatan dan perkahwinan dan pendidikan.Keluar dari warisan itulah buah kepada segala perubahan dan kemajuan.

Kefahaman itu sangat berat bagi anak kecil memahaminya.Tujuan saya hanya untuk mengajarnya tentang membuat persepsi yang adil dan menghindarinya dari persepsi menghukum.Saya hilang modal. Terteku seketika dan kakak terus memandang menagih jawapan.
"Kakak, babah ada satu cerita untuk masalah kita ini" kakak hanya menganguk tanda mahu mendengar.
Cerita ini saya kutip dari buku "Stephen R. Covey".
"Saya masih ingat suatu penganjakan paradigma mini yang saya mengalaminya di kereta api bawah tanah di New York. Semua pnumpang duduk diam. Tiba-tiba seorang lelaki dan anak-anaknya memasuki koc kami.Kanak-kanak itu begitu bising,berteriak, mengacau orang lain dan suasana berubah secara keseluruhan.Amat sukar tidak berasa marah.Saya tidak percaya bahawa lelaki itu tidak peka sehingga membenarkan anak-anaknya berkeliaran tanpa menegur.
Akhirnya dengan menahan marah saya bertanya, " Encik, anak-anak encik sedang mengacau orang lain. Dapatkah encik mengawal mereka sedikit?"
Lelaki itu membuka mata yang terpejam dan menjawab secara perlahan."Oh ya. Saya patut mengawal mereka.Kami baru balik dari hospital, emak mereka baru meninggal dunia sejam sebelum ini. Saya tak tahu apa nak buat, dan saya ingat mereka pun tak tau apa nak buat."


"kesian tak kakak kat keluarga tu? kakak mengangguk dan mula teranjak paradigmanya dalam melihat sesuatu yang diluar dunianya. Perasaan marahnya hilang dan timbul simpati dan kasih sayang.

"Macamana dengan orang tak pakai tudung tadi, kesian tak dengannya.Memang dia berdosa tapi kita kesian sebab tak de yang nasihatnya dengan kasih sayang dan tadi kakak hanya hukum dia sajakan."
"Yelah..kesian dia..dan beruntungnya kakak.." dia membuat kesimpulan.
"Lepas ni kalau tengok kawan kakak tak pakai tudung kakak nak buat cammana? "soalan kefahaman yang spontan.
"Emmm...kakak sayang kawan kakak. Kakak takkan kata kat dia kau berdosa, tapi terangkan hukum pakai tudung dan ajak dia pakai tudung dengan lembut. Tak ejek dia tentang dosa nanti dia marah dan tak nak kawan kakak lagi. Susahlah akak nak ajak dia buat baik..betulkan umi." Kami mengangguk bangga dan mahu kakak menjadi pendakwah dikalangan rakannya. tapi perlu mempunyai persepsi yang tidak berburuk sangka.
Kami saling berpandangan dan mengakui kata-kata yang dibincangkan malam tadi...

PANDANGLAH ORANG LAIN YANG BERBEZA ANTARA KITA DENGAN KEMAAFAN, BUKAN DENGAN PANDANGAN ANGGAPAN.

Sukar untuk menerima kenyataan, kami dididik memandang dunia lain berdasar biografi diri,bukan keadaan sebenarnya. Kami mula belajar kembali tentang erti dakwah melalui kaca mata kanak-kanak yang tidak berprasangka. Dakwah menjadi cantik dan berkasih sayang.
Saya dengar uminya terus berceloteh tentang sirah nabi pula tentang isu yang sama.
Dan saya dengar juga kakak dan adik-adiknya bertengkaran tentang memilih rancangan televisyen. Timbul pula isu bagaimana mengurusi perbezaan pendapat...Dunia kanak-kanak yang indah dan tanpa prasangka.

Comments

Popular posts from this blog

Kata-kata

Misi Bertanggungjawab