PENYAKIT GANAS DAN KEJAM
Manusia secara umumnya memang mempunyai keupayaan untuk bertindak ganas dan kejam. Emosi negatif ini boleh muncul dalam bentuk perkataan dan perbuatan. Dalam diri manusia memang ada ‘kilang’ yang menghasilkan keganasan. Perkataan memaki hamun dan mencarut dikeluarkan oleh kilang ini. Perbuatan memukul dan merosak juga merupakan hasil kilang yang sama. Keganasan ini tidak semestinya ditujukan kepada sesama manusia, malah ditujukan juga kepada binatang dan benda. Perbuatan memukul binatang dan mengoyakkan pakaian boleh diistilahkan sebagai ganas. Ada juga perbuatan yang zahirnya kelihatan ganas tetapi merupakan perbuatan yang terpuji. Seorang yang bertindak ganas kerana mempertahankan harta dan maruahnya adalah melakukan perbuatan yang terpuji. Orang yang bertindak ganas kerana mencerobohi hak orang lain adalah berbuat keganasan yang dikeji. Perbezaan antara dua bentuk perbuatan itu adalah yang terpuji itu disertai oleh perasaan peri-kemanusiaan sementara yang dikeji itu dilakukan tanpa...