Mulakan Dengan Bismillah....



“Babah, rasa malaslah nak rekod buku NILAM. Letih sangat. ” anak saya merungut ketiadaan semangat. Setelah sebulan lebih bercuti, diberi sedikit kelonggaran dengan aktiviti akademik.Hatinya mula meronta. Nafsunya mula membisik. Dan akalnya pula ikut membeku.Akal,hati dan nafsu mula saling menguasai. Ternyata nafsulah yang mula mengepalai hati dan akal membentuk tabiat negetif.

“Kakak kan dah lama rehat.”kata saya teragak-agak. Amat sukar mengeluarkan solusi. Hakikatnya saya juga juga telah lama berehat. Dan memulakan sesi persekolah 2010 dengan nafsu menguasai hati. Aduh..!!

“Rauzah, babah pun sama macam kakak “ kata saya dalam hati. Lemah, letih, dan tidak bersemangat. Apa yang harus saya hujahi pada anak ini ?? Bicara terhenti. Saya sekadar memandang Rauzah merekodkan bacaannya dengan muka yang sugul dan sesekali menjeling ke televisyen yang mula menjadi “best friend”nya sebulan ini. Dijelingnya pula basikal merahnya yang mulai berehat panjang. Pertukaran musim.

“Bah, esok sekolah ye..” Uzair datang menerpa. Juga pertanyaan yang menunjukkan perasaan yang sama. Uzair meneruskan persekolahan di Tadika PASTI.( 6 tahun )
“Bah, esok sekolah kan…” Si abang sedikit berbeza. Akan memulakan Tahun Satu dengan rasa teruja. Kerana situasi baru agaknya. Si umi pula seminggu sebelum sekolah bermula sudah mula membicarakan topic kontrovesi ini. Tiada kata yang mampu terhambur menjadi ungkapan nasihat yang memberi semangat. Aku terus diam. Rauzah terus membuat kerjanya. Memikir-mikirkan apa yang perlu diucapkan.

“Rauzah. Ingat tak semalam kita sama-sama bergotong royong bersihkan bilik bacaan.” Kata saya cuba memulakan cerita semangat untuk kami sekeluarga.

“Emm, kenapa?

Pernah ini terjadi pada anda….!!??

Semalam saya duduk di meja bacaan -telefon berbunyi. Seseorang yang menelefon meminta saya mencatat nombornya. “Sebentar “ Mana pen? Untuk mencari pen saya terpaksa mengalih-alihkan fail yang tidak tersusun rapi…terjumpa resit, bil-bil, polisi insuran, ubat hidung tersumbat…huh..

“Maaf ye, lama menunggu, saya rasa ada pen di sini…”
Saya menggeledah laci. Terpaksa menguakkan beteri lampu, kertas panggilan mesyuarat, minit menyuarat Panitia BM, tiket, krayon budak.

“ Aaaa..krayon..!!!” Saya mencatat nombor itu menggunakan krayon hijau. Telefon dimatikan dengan sedikit mengah.

Termenung sebentar. “ dah jumpa polisi insuran, baik aku masuk kan dalam fail.”

Kemudian saya memanggil ketiga-tiga anak saya untuk membantu mengemas. Mereka nampak tidak menyukai aktiviti ini. Televisyen terpaksa di “off”kan. Simpan buku buku dan majalah kanak-kanak di rak bahan bacaan kanak-kanak. Helaian kertas dan modul yang tidak diperlukan dibuang sahaja. Semua bahan cuba diletak di tempatnya kembali dan tempat yang sesuai. Tiba-tiba kami mendapat wawasan…” Kami boleh ada bilik bacaan yang TERATUR dan KEMAS “Menjelang tengahari kami berasa seronok dengan hasilnya. Si Uzair dengan “mask H1N1”nya menolak pembersih vakum.Sambil bekerja bau masakan umi beraroma membangkitkan selera.Permulaan yang hambar bertukar menjadi seronok sambil tercipta niat dan visi baru
.
“Bersihnya bilik bacaan kita…” kata mereka terpegun dan tidak menyangka hasilnya .

Ini cerita membersih bilik, dan ia sama halnya dengan menulis laporan, menyiapkan buku rekod mengajar, mencuci kereta, mesin rumput, mengemas kini fail-fail sekolah dan apa jua tugasan yang rutin yang melonglaikan nafsu. KITA MULA GHAIRAH MEMBUAT SESUATU SELEPAS KITA BERMULA.

“Jadi, kita mulakan saja, kemudian kita akan merasakan tenaga , semangat dan keseronokan kembali “saya menyimpulkan cerita mengemas bilik bacaan kepada Rauzah. Lebih lagi untuk diri sendiri.

Kita sering tersilap berfikir : “ Apabila aku ada tenaga, aku akan mula joging setiap petang!” Salah besar! Kita mulakan dulu. “Bila aku lebih bersemangat baru , aku akan membuat kerja rumahku.”Alasan nafsu. Tenaga datang selepas memulakan. Melalui penglibatan diri. Rahsianya ialah MULAKAN. Dan mulakan dengan Bismillalah…

dan hanya kepada Allahlah hendaknya kamu bertawakkal jika kamu benar-benar beriman.( Al-Ma’idah:23)


“Aku rasa cintaku mulai hambar..” Itulah isyarat untuk MULAKAN. Mulakan kembali bercinta.Sungguh riang si isteri mendengar ungkapan sang suami ini.

Untuk bersedia. Kita sentiasa tidak cukup bersedia. Hati akan sentiasa berkata “ kalaulah aku ada sedikit masa lagi…” Rahsianya, jangan tunggu. Mulakan….

Kita mendapat motivasi dengan membuat sesuatu, bukan dengan memikirkannya.

“Ayuh, kita mulakan kak……”

Sesi persekolahan 2010 bermula esok.

“ Keluarga kita perlu menerpa kejayaan yang lebih baik dari tahun lalu, InsyaAllah” kata saya mengakhiri kata sebelum melangkah untuk solat Asar.

Comments

Popular posts from this blog

Kata-kata

Misi Bertanggungjawab